Kepuasan Anuar Zain
ARKIB : 25/06/2008
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
MENGENALI Anuar Zain, sememangnya dia sentiasa mahu memberikan yang terbaik dalam setiap hasil karyanya. Kerana baginya, apa yang dilakukan adalah demi peminatnya yang tidak pernah putus menyokongnya.
Mengambil album ketiganya, Anuar Zain yang memuatkan lagu-lagu popular seperti Lelaki Ini dan Ketulusan Hati sebagai contoh, Anuar sendiri tidak lokek untuk mengeluarkan kos yang begitu tinggi dalam memastikan produknya mendapat tempat di hati peminatnya.
Apa yang dimahukan oleh jejaka berusia 38 tahun ini adalah setiap karyanya dikenang sehingga ke akhir hayat selain mahu membuktikan bahawa produknya akan sentiasa menampilkan kelainan sekali gus membuktikan keseriusannya dalam bidang seni.
Enggan menunggu lama seperti sebelum ini, Anuar dengan terbuka memberitahu, dia kini sedang merencana penghasilan album keempatnya yang bakal dipasarkan seawal tahun hadapan.
“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, kali ini saya mahu tampil dengan genre lagu yang lebih segar dan saya membuka peluang kepada semua komposer baik di Malaysia dan Indonesia untuk memperdengarkan karya mereka kepada saya.
“Seandainya, kena dengan konsep yang saya mahukan, sudah pasti saya akan memilih karya mereka tanpa ragu,” kata pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini membuka bicara.
Tegasnya, dia sesekali tidak akan mengulangi formula yang telah digunakannya untuk album terbarunya kelak kerana tidak mahu peminatnya berasa bosan dan jelak.
Apatah lagi untuk mereka membandingkan dengan album-album terdahulu.
Untuk buah tangan terbarunya kelak, Anuar menjanjikan suatu kelainan yang mampu membuatkan peminatnya melihat dimensi lain seorang yang bernama Anuar Zain.
Salah satunya kelainan yang mahu ditonjolkan Anuar adalah untuk mengetengahkan karya-karya komposer muda yang dilihatnya mampu menghasilkan karya yang berkualiti setanding dengan karyawan seberang.
Piawaian
Menyambung perbualan, jejaka berbintang Aquarius ini memberitahu, penghasilan album Anuar Zain yang sudah pun mencecah jualan 30,000 unit itu telah banyak mengajarnya tentang selok-belok penerbitan album dan sepanjang perjalanannya itu, sudah banyak pengalaman yang telah dikutip dalam melengkapi hidup sebagai seorang penyanyi dan penghibur.
“Saya suka menerbitkan album sendiri kerana saya dapat menentukan hala tuju album itu dan pastinya, saya berasa begitu puas. Saya tahu apa yang saya mahukan dan konsep yang ingin saya tampilkan dalam setiap album saya.
“Bukan itu sahaja, saya seorang yang sungguh teliti dan apa yang saya mahu, setiap produk yang saya lahirkan mencapai piawaian yang saya sendiri tetapkan. Saya tidak suka dengan album yang asal siap tetapi tidak berkualiti,” kata pemilik vokal lagu Keabadian Cinta ini dalam nada bersungguh.
Jelas Anuar lagi, penetapan sesuatu konsep dalam album itu amatlah penting kerana setidak-tidaknya itu menandakan hala tuju seseorang artis itu dalam penerbitan album mereka.
“Secara jujurnya, sebelum ini, wang saya banyak dilaburkan untuk logistik sewaktu menghasilkan album terdahulu lalu ia menjadi penyumbang kepada kos penerbitan yang tinggi.
“Namun, kini, saya dan pasukan saya sudah banyak belajar dan sekarang kerja kami menjadi mudah dan pantas serta seterusnya, ia mampu mengurangkan kos untuk penerbitan album kali ini,” katanya yang pernah dinobatkan dengan anugerah Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali itu lagi.
Malah, Anuar turut mengkhabarkan berita gembira apabila album ketiganya itu telah pun terjual hampir 5,000 unit di Indonesia lantas ia menguatkan lagi semangat anak kelahiran Merlimau, Melaka untuk terus berkarya.
Anuar yang juga pemurah dengan senyuman itu sempat menceritakan pengalamannya di Jakarta, Indonesia akhir tahun lalu dalam usahanya untuk menembusi pasaran di ibu kota Indonesia itu.
Ceritanya lagi, buat masa ini lagu-lagunya seperti Lelaki Ini dan Ketulusan Hati semuanya mendapat sambutan di luar Jakarta seperti di Bandung dan Surabaya dan pernah menjuarai carta radio di sana.
“Untuk menembusi pasaran Jakarta agak sukar sedikit kerana buat masa ini, mereka lebih menumpukan perhatian kepada muzik yang dipersembahkan oleh band.
“Bukan sahaja penyanyi dari Malaysia, malah penyanyi solo mereka juga bagaikan dipinggirkan saat band kini lebih mendapat tempat. Bukan itu sahaja, seandainya seseorang penyanyi itu bukan artis di bawah lima buah label gergasi di sana antaranya Warner Music, Universal dan Sony BMG, lagi sukar untuk dikenali di Jakarta,” kata bekas pramugara Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini lagi.
Tambah Anuar, dia begitu kagum dengan semangat yang ditonjolkan oleh mereka yang terlibat dalam industri muzik di sana apabila melibatkan sebarang perihal tentang muzik terutama sekali jika ada artis luar yang ingin menembusi pasaran mereka.
Bercerita pula tentang dua persembahannya yang akan diadakan di Sabah dan Sarawak pada Julai dan Ogos depan, Anuar tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya tatkala agak lama juga dia tidak membuat persembahan besar seperti itu di sana.
Persembahan yang dianjurkan diberi nama Malam Bersama Anuar Zain itu merupakan kelangsungan daripada kejayaan persembahan A Nite With Anuar Zain di Dewan Perdana Felda yang diadakan tidak berapa lama dulu.
Untuk persembahan di Sabah, ia akan diadakan pada 26 Julai bertempat di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah dan persembahan Anuar akan diiringi enam pemuzik dan tiga penyanyi latar di bawah pengarah muzik, Alvin Santiago.
Manakala persembahan di Sarawak Chamber Ballroom, Crowne Plaza Riverside, Kuching, Sarawak pula yang merupakan dinner show, akan menyaksikan Anuar menyanyi secara minus one.
Glamor dan elegan
Menampilkan dua persembahan yang berbeza, Anuar menjelaskan itu bukan penghalang buatnya untuk mempersembahkan yang terbaik serta memberikan kepuasan kepada peminatnya.
“Persembahan saya pada malam itu tiada bezanya dengan apa yang saya persembahkan di Dewan Perdana Felda tempoh hari.
“Saya juga akan menyampaikan lagu-lagu saya sendiri mungkin dalam 15 buah lagu. Apa yang saya utamakan adalah kepuasan dan kegembiraan buat peminat saya yang tidak pernah henti menyokong,” ikrarnya tentang persembahannya yang berkonsepkan glamor dan elegan itu.
Menariknya persembahan yang dianjurkan oleh DC Borneo Sdn. Bhd. itu, Anuar sendiri telah memilih penyanyi bersuara lantang, Deja Moss yang juga sahabat baiknya sebagai artis jemputan.
“Saya begitu terharu apabila Anuar sendiri yang memilih saya untuk menjadi artis jemputannya. Saya sendiri akan menyampaikan lima buah lagu popular saya seperti Asmara Ini dan lagu lain yang sering saya bawakan dalam persembahan saya sebelum ini,” kata Deja yang bakal menamatkan zaman bujangnya pada Ogos ini bersama Azfendy Azzuddin.
Add comment September 30, 2008
Tahniah Anuar Zain!
AGAK lama juga Papa tidak dengar sebarang kisah tentang penyanyi yang memang Papa kagum dengan suara dan lagu-lagunya ini. Siapa lagi kalau bukan Anuar Zain atau lebih selesa Papa menggelarkannya Abang Nuar.
Selain sibuk dengan pengumpulan material baru untuk album terbarunya, Papa dengar juga Abang Nuar juga sibuk memenuhi undangan untuk rakaman program untuk tayangan Hari Raya nanti.
Itulah penangan Abang Nuar. Meskipun, ramai yang memperkatakan yang kurang manis tentang dirinya, tetapi Abang Nuar tetap berdiri teguh dan dipuja oleh peminatnya.
Seperkara yang buat Papa terkejut dan dalam masa yang sama bangga dengan Abang Nuar adalah apabila salah sebuah lagu yang terkandung dalam album ketiganya iaitu Teman Terulung sekarang ini menjadi juara carta Muzik-Muzik.
Manalah Papa tidak terkejut sebab lagu itu belum lagi dimainkan di corong-corong radio tetapi sudah menjadi juara. Sebelum ini, asyik-asyik lagu Lelaki Ini dan Ketulusan Hati saja yang dimainkan.
Kejayaan Abang Nuar itu sudah jelas membuktikan bahawa peminatnya tetap setia di sisinya memberikan sokongan dengan mengundi lagu tersebut untuk terus berada di takhta teratas carta muzik popular itu.
Papa tidak nafikan lagu Teman Terulung ciptaan sepenuhnya oleh Azalea itu memang sedap dan indah. Malah, kali pertama Papa dengar pun, sebak hati Papa sehingga tidak sedar mengalir air mata Papa.
Papa pun harap lagu itu dapat masuk separuh akhir dan seterusnya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL). Ramai juga yang rindu untuk melihat Anuar beraksi di AJL.
Add comment September 30, 2008
Konsert Anuar di Singapura
SELEPAS penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza mengadakan konsert solo di pentas berprestij bertaraf dunia, Esplanade Theater, Singapura, pada Mac lalu, kini, giliran penyanyi lelaki berkaliber, Anuar Zain pula menjejaki langkah biduanita muda negara itu.
Jika semuanya berjalan lancar, Anuar bakal melagukan vokal mantapnya di pentas yang mampu memuatkan 1,600 orang penonton itu pada bulan November ini.
Tiada yang lebih menggembirakan buat pemilik vokal Keabadian Cinta dan Lelaki Ini apabila doanya dimakbulkan untuk mengadakan persembahan di sana apatah lagi ia merupakan konsert terbesarnya di kota Singa.
Berita baru ini dikhabarkan sendiri oleh Anuar sewaktu bertemu dengannya selepas tamatnya rakaman program raya Syawal Bersama Anuar Zain terbitan TV9 di Glenmarie, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
“Saya memang tidak sabar lagi untuk mengadakan persembahan di sana kerana sejak menjadi penyanyi solo hampir 10 tahun, belum pernah lagi saya mengadakan sebuah konsert besar di sana.
“Apatah lagi di pentas seperti itu yang kita semua sedia maklum memiliki teknologi canggih dari segi bunyi yang hebat dan lengkap serba-serbi.
“Malah, saya bersyukur kerana akhirnya impian saya terlaksana dan saya mengharapkan bukan sahaja peminat saya di Singapura tetapi juga dari Malaysia, Indonesia dan Brunei juga akan datang sama-sama memeriahkan konsert saya itu,” tutur Anuar lembut sambil tersenyum.
Apabila sudah melakukan persembahan di tempat yang begitu eksklusif dan berprestij, pastinya, tiket yang dikenakan juga menjadi begitu eksklusif dan hanya golongan tertentu sahaja yang mampu membelinya.
“Konsert saya itu tidak akan mengenakan harga yang melampau sehingga peminat saya tidak mampu membelinya kerana saya jamin, harga tiketnya mampu dimiliki mereka,” katanya lagi.
Buat masa ini, jelasnya, masih terlalu awal untuk memikirkan tentang konsep dan pemilihan lagu-lagunya dan semuanya itu akan difikirkan oleh Anuar dan pengurusannya selepas Aidilfitri kelak.
Dalam pada itu, anak kelahiran Merlimau, Melaka ini turut melahirkan rasa gembiranya kerana lagu Teman Terulung yang dimuatkan dalam album ketiganya, Anuar Zain mendapat perhatian ramai meskipun lagu tersebut tidak pernah dimainkan di corong radio.
Ini berdasarkan kejayaan lagu tersebut yang berjaya menduduki takhta juara selama empat minggu berturut-turut dalam rancangan Muzik-Muzik sebaik sahaja dicalonkan baru-baru ini.
“Saya percaya seandainya lagu itu bagus dari segi, melodi dan susunan muziknya, peminat mampu menerimanya dengan baik sekali walaupun tidak mendapat tempat di radio.
“Lagu Teman Terulung sememangnya lagu yang cukup indah dan saya berasa begitu bertuah kerana dapat melagukan lagu tersebut,” komen Anuar tentang kejayaan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Azalea itu.
Berbicara tentang rancangannya sempena kedatangan bulan Ramadan minggu depan, Anuar memberitahu, dia mengambil kesempatan untuk berehat dengan menghabiskan masa bersama keluarga sepanjang bulan mulia itu.
Untuk itu juga, dia akan menyelesaikan segala rancangan dan program yang diaturkan sebelum Ramadan agar segala yang dirancangkannya untuk bulan puasa nanti akan berjalan lancar.
“Sejak lahir dengan album terbaru ini, saya tidak henti bekerja dan kini tiba masanya untuk saya berehat serta menumpukan pada amal ibadat sepanjang bulan puasa ini,” ujar pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali ini lagi.
Berbicara tentang program raya Syawal Bersama Anuar Zain, penyanyi berusia 38 tahun ini tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya apabila diberi peluang membuat persembahan bersama tiga rakan baiknya.
Mereka yang dimaksudkan oleh Anuar adalah Deja Moss, Rem dan Sarah Raisuddin selain daripada persembahan Anuar sendiri untuk rancangan yang diterbitkan oleh Saifulizzam Mohd. Lizah itu.
“Saya diberi peluang untuk memilih artis untuk ditampilkan dalam rancangan ini. Sebelum ini, agak jarang untuk kami berkongsi pentas dalam rancangan sebegini dan disebabkan itu, saya begitu teruja untuk beraksi bersama mereka.
“Malah, keistimewaan mereka juga terletak pada kredibiliti vokal mereka yang memang mantap. Apa yang penting buat saya adalah keserasian dan senang untuk bekerja bersama mereka,” kata Anuar memberi pandangannya.
Selain Syawal Bersama Anuar Zain, adik kepada Ziana Zain ini turut terlibat dalam dua lagi program raya iaitu Konsert Fenomena Ziana dan Anuar untuk siaran RTM dan Ghazal Rock (TV3).
Bagi Saifulizzam, sebagai penerbit, dia cukup berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh artis terlibat dan bukan itu sahaja, kelainan yang ditonjolkan menerusi program berkenaan juga membawa maknanya yang tersendiri.
“Program ini mempunyai jalan ceritanya yang tersendiri dan buat pertama kalinya, kami gandingkan Anuar bersama 20 orang anak-anak yatim dari Rumah Amal Limpahan Kasih, Cheras untuk melengkapkan lagi jalan cerita.
“Selain daripada persembahan Anuar dan rakan-rakannya, kami turut menyelitkan elemen drama di awal program ini yang menjadi pencetus kepada perjalanan intipati program ini,” jelasnya.
Di bawah pimpinan pengarah muzik, Alvin Santiago, Syawal Bersama Anuar Zain menyaksikan Anuar mendendangkan rangkaian lagu-lagu popularnya seperti Permata, Bila Resah, Teman Terulung, Lelaki Ini, Ketulusan Hati dan Kau Bunga Cintaku.
Bukan itu sahaja, rakan-rakan Anuar yang lain turut membuat persembahan dengan lagu-lagu popular mereka seperti Rem dengan lagunya, Erti Kasih, Deja (Asmara Ini) dan Sarah (Ku Teruskan).
Tidak lengkap sebuah program raya tanpa menyelitkan lagu-lagu raya dan Anuar tidak ketinggalan menyampaikan sebuah lagu raya malar segar nyanyian asal Sanisah Huri dengan gayanya yang tersendiri iaitu Bersabarlah Sayang.
Malah, dia turut menyampaikan lagu raya klasiknya, Suasana Hari Raya bersama anak-anak yatim dan rakan-rakannya.
Bukan itu sahaja, Deja dan Rem juga diberi peluang berpadu suara menerusi lagu Seloka Hari Raya.
Mengakhiri persembahan dengan nyanyian beramai-ramai menerusi lagu Aidilfitri, pastinya Syawal Bersama Anuar Zain akan menjadi santapan istimewa Syawal buat peminat setia Anuar apabila ditayangkan di TV9 selama satu setengah jam pada Hari Raya Kedua nanti.
Add comment September 30, 2008